Wednesday, September 12, 2007

SELAMAT DATANG RAMADHAN!

Buah kurma gugur menimpa,
Jatuh ke bumi berderai-derai,
Bulan Ramadhan dah kunjung tiba,
Ayuh hayatinya beramai-ramai.

KEHADIRAN Ramadan yang kita lalui sekarang hendaklah disambut dan dipenuhi dengan amal soleh. Jangan biarkan Ramadan ini berlalu begitu saja tanpa dipenuhi dengan kegiatan atau amalan berfaedah yang mendapat keberkatan dan keredaan Allah.
Kita perlu memanfaatkan kedatangan Ramadan sebaiknya dengan doa dan harapan amalan puasa dan ibadat lain diterima Allah.

Suasana orang yang menyambut Ramadan berbeza. Ada yang gembira dan tidak sabar mengalu-alukan ketibaan Ramadan. Ada juga tidak ceria dengan kedatangannya kerana tidak terasa keseronokan dan kenikmatan berpuasa. Malah golongan ini terasa terseksa hidup dalam sebulan ini.

Ibnu Abbas meriwayatkan Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: "Apabila datang hari pertama Ramadan, maka bertiup angin al-Mutsiiratu dari Arasy dan menggerakkan daun-daun pohon syurga hingga terdengar sayup-sayup suara merdu yang tidak pernah terdengar oleh sesiapa pun.

"Bidadari melihat dan mendengar ke arah sayup-sayup suara merdu itu sambil berkata: "Ya Allah, jadikan kami pada bulan ini (Ramadan) sebagai isteri hamba-hamba-Mu. Maka Allah mengahwinkan hamba-Nya yang berpuasa pada Ramadan dengan bidadari cantik."

Ini adalah salah satu cebisan kebaikan dan ketinggian bulan Ramadan yang sedang dilalui umat Islam.

Kita harus bersyukur kerana dapat menyambut ketibaan Ramadan al-Mubarak, iaitu bulan awalnya rahmat, pertengahannya pengampunan dan akhirnya merdeka (terlepas) daripada api neraka.

Semoga kita mendapat ketiga-tiga kelebihan itu.
Bagi mereka yang ingin menjinakkan hati untuk merasakan keseronokan Ramadan, perlu dibuat beberapa inovasi dalam pengisian dan menghayati bulan mulia ini. Mungkin saranan amal Ramadan di bawah ini lebih praktikal untuk keseronokan berpuasa dan menggamit kegembiraan.

Kita perlu mencipta suasana ceria dan menyeronokkan pada Ramadan agar jiwa tenang dan puas dengan amalan yang hanya sebulan ini.

Badan dakwah dan kebajikan atau organisasi Islam di setiap daerah menyediakan kain rentang dengan ungkapan mengalu-alukan Ramadan seperti "Ahlan Wa sahlan Ya Ramadan" dan "Ramadan Karim, samalah kita merebut piala Ramadhan". Jika sudah terlepas awal Ramadan, kita masih sempat membuatnya untuk menyambut hari raya seperti "Raya Tanpa Maksiat". Mungkin di rumah kita boleh cipta suasana sebegini.

Hantar ucapan atau sistem pesanan ringkas (SMS) "Selamat Berpuasa" kepada rakan.

Latih anak-anak kecil lima tahun ke atas untuk mula berpuasa. Berikan ganjaran dan galakan kepada mereka.

Galakkan iftar (buka puasa) secara berjemaah bersama ahli kariah dan rakan di surau atau bergilir-gilir di rumah ahli keluarga terdekat, jiran atau sahabat handai. Dengan cara ini, kita juga dapat merapatkan silaturahim sesama umat.

Galakkan menghantar juadah berbuka kepada jiran. Namun isteri atau kaum ibu jangan keterlaluan menyediakan juadah sehingga kepenatan. Ini akan menjejaskan tumpuan untuk melakukan ibadat seperti solat Tarawih.

Jemput rakan beriftar di rumah, pejabat atau tempat biasa kita berkumpul atau bertemu.

Bertadarus al-Quran bersama ahli keluarga di rumah atau rakan sepejabat ketika waktu rehat. Inilah peluang mendapatkan bekalan ruhiyah pada bulan mulia ini.

Galakkan bertadarus bersama isteri dan anak.

Tadabbur, telaah dan mengkaji isi kandungan al-Quran. Baca tafsir dan maknanya untuk meningkatkan ilmu dan iman. Al-Quran, pemberi panduan, pemisah antara hak dan batil, seterusnya membebaskan kita dan manusia daripada kesesatan.

Rajinkan diri bersolat jemaah Tarawih di surau dan masjid. Inilah peluang untuk menambah amalan solat dan meramaikan kenalan baru..

Rajinlah berqiamullail di surau dan masjid. Kalau takut hendak buat seorang diri, ajak rakan dan ahli keluarga yang lain.

Setiap hari ringankan tangan untuk menghulur sedekah wang, walaupun RM1 dan harta (infaq) seperti sumbangan untuk tabung Palestin, tanah wakaf, sekolah, anak yatim, fakir miskin, tabung iftar di surau dan masjid. Derma kepada orang yang memerlukan dan galakkan anak menjadi dermawan dan suka menyumbang.

Iktikaf di masjid. Ini secara tidak langsung memberi peluang kita beruzlah dan fokus untuk mengenali diri dan menghampirkan diri kepada Pencipta kita, selepas setahun sibuk dengan dunia dan kehidupan.

Bersedia untuk "Kembara Ramadan" pada 10 malam terakhir bersama kaum keluarga, rakan atau sekampung. Kembara Ramadan adalah ekspedisi untuk mengejar harta karun malam seribu bulan, Lailatul Qadar yang hanya berlaku sehari dalam setahun.

Semoga puasa kali ini lebih baik daripada pada tahun sebelumnya.

No comments: